KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur menyantuni petugas media Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan agihan juadah berbuka puasa sempena bulan Ramadan.
Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Bahagian Hal Ehwal Islam Kedutaan Besar Arab Saudi, Ahmad Hassan M. Al-Hamdi menerusi Program Iftar Penjaga Dua Tanah Suci Raja Salman Bin Abdul Aziz Aal Saud bagi tahun ini.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam di seluruh dunia.
"Sebanyak 300 pek iftar makanan disediakan untuk berbuka puasa dalam bulan yang mulia ini. Inisiatif ini mencerminkan hubungan erat antara Arab Saudi dan Malaysia dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
"Malaysia adalah salah satu negara Islam yang sentiasa menjalin hubungan rapat dengan Kerajaan Arab Saudi," katanya.
Terdahulu, Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur turut menyumbangkan 25 tan kurma kepada rakyat Malaysia sempena Ramadan.