KUALA LUMPUR, 13 November - Kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan serantau terus diperkukuh, sekali gus meningkatkan daya saing di peringkat global.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib memaklumkan kejayaan ini dicapai menerusi pelaburan berterusan dalam projek pembangunan infrastruktur.
Beliau berkata kerajaan terus komited melaksanakan projek pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang.
Ini bagi mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima hingga enam peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.
"Di peringkat kementerian pula, hala tuju pembangunan adalah berlandaskan kepada ketetapan peraturan dan dokumen dasar yang lebih terperinci, sebagai contoh di Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan.
"Dokumen dasar seperti pelan rangkaian jalan raya 2023 dan dasar pengangkutan negara 2019 hingga 2030 telah mengariskan pembangunan infrastuktur yang komprenhensif mengikut pelan tindakan dan sasaran yang perlu dilaksanakan dan dicapai dalam tempoh tertentu," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia anak Brodi mengenai pelan pembangunan infrastruktur ekonomi utama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan daya saing Malaysia di peringkat global.