fb fb fb fb fb

Kedah peruntuk RM200,000 bina benteng tahan ombak

Mohammad Yusoff@Munir Zakaria

MERBOK, 6 Oktober- Kerajaan Negeri Kedah memperuntukan sebanyak RM200,000 bagi membina benteng penahan ombak di pesisir pantai Kampung Huma di sini bagi mengurangkan kesan hakisan pantai serta banjir kilat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohammad Yusoff@Munir Zakaria berkata benteng sepanjang 500 meter itu akan dibina di kawasan kritikal berdekatan rumah penduduk.

"Kerajaan Persekutuan telah meluluskan bajet sebanyak RM17.5 juta untuk projek ini, namun tendernya hanya dijadualkan pada awal tahun depan.

"Untuk mengatasi masalah segera ini, kami memohon kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan sedikit dana bagi membina benteng penahan ombak menggunakan plastic geobag agar air tidak masuk ke dalam rumah penduduk.

"Projek ini telah diluluskan dan insya-Allah akan dimulakan minggu depan dengan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk melindungi rumah daripada hakisan." jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kejadian banjir kilat pada 20 Ogos lalu yang memaksa seramai 84 penduduk daripada 22 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pial.

Penduduk sebelum ini mendakwa benteng penahan ombak hanya dibina di sebahagian kawasan pesisir pantai Tanjung Dawai, manakala sebahagian besar kawasan didiami mereka tidak dilindungi.

Keadaan itu menyebabkan air laut mudah memasuki rumah mereka ketika fenomena air pasang besar. Selain Merbok, fenomena air pasang besar turut melanda beberapa kawasan di Pantai Murni dan Kuala Sala, Yan serta Kuala Kedah.

SITI AISHAH MD ISA