fb fb fb fb fb

Kecurian kabel tren jejas perkhidmatan KTM sektor utara

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berbincang sesuatu bersama Ketua Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin (dua,kanan) ketika mengadakan lawatan di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar

ALOR SETAR, 24 Mac - Kementerian Pengangkutan memandang serius kegiatan sabotaj dan curi kabel sistem semboyan dan komunikasi  yang berterusan.

Kegiatan itu memberi kesan ketara terhadap perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) khususnya di sektor utara.

Menterinya Anthony Loke berkata, kes kecurian kabel meningkat sebanyak 414 peratus daripada tujuh kes pada suku ketiga 2024 kepada 36 kes pada suku keempat 2024.

Akibatnya berlaku ganguan perkhidmatan KTM komuter utara yang meningkat daripada 85 insiden pada Julai 2024 kepada 804 insiden pada Disember tahun lalu.

20 lokasi dikenal pasti dan sektor Sg Petani- Tasek Gelugor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 35 kes, manakala sektor Gurun-Sg Petani melibatkan sebanyak 21 kes.

Ia melibatkan kos pembaikan mencecah RM1.35 juta dengan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi perkhidmatan.

"Perkara ini adalah satu yang amat serius dan kita nampak seolah-olah ada sendiket sebab terlalu banyak kes berlaku dan menyebabkan kita amat kerugian besar daripada segi kos untuk membaiki dan kos operasi kita yang terganggu begitu teruk sekali, jadi saya harap pihak polis dapat membantu," kata Anthony Loke.

Beliau bercakap kepada pemberita sempena lawatan sehari ke Kedah, di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain KTMB akan menerima 12 set tren baharu bagi meningkatkan frekuansi perkhidamatan KTMB komuter utara yang sekali gus mengurangkan waktu menunggu penumpang. Tren pertama dijangka diterima dalam tempoh 22 bulan.

Jesteru, pembinaan tren-tren baharu akan bermula secara berfasa dalam tempoh 36 bulan . Kos keseluruhan adalah RM283 juta merangkumi reka bentuk pembinaan pengujian dan pentauliahan tren sebelum diserahkan kepada KTMB untuk operasi sepenuhnya.

TETITIA YUSOFF