KUALA LUMPUR, 12 Jun- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatatkan purata kadar keboleh pasaran sehingga 99 peratus untuk tempoh tiga tahun berturut-turut. Ia melibatkan tiga komponen utama termasuk bekerja dalam bidang berkaitan, meneruskan pengajian serta keusahawanan.
Menurut Pengarah Bahagian TVET Kementerian Pendidikan, TS Zulkernai Fauzi, ini menunjukkan bidang itu bukan sekadar pelan alternatif sebaliknya laluan utama yang releven dengan keperluan industri semasa.
“Selama 3 tahun lah berturut-turut daripada tahun 2021 sehinggalah 2023 kebolehpasaran graduan diploma di Kolej Vokasional cukup membanggakan iaitu puratanya 99 peratus kebolehpasaran. Pada tahun 2021 keboleh pasaran 99.16 peratus, 2022 (99.38%) dan 2023 (99.91%)," katanya kepada RTM di Angkasapuri.
Mengulas mengenai kemasukan ke program TVET, KPM berkata permohonan memasuki Kolej Vokasional melebihi kapasiti yang disediakan. Tahun lalu, seramai 60,868 pelajar lepasan Tingkatan 3 memohon, namun hanya 17,972 tempat yang ditawarkan.
“Disebabkan kekangan kapasiti, pelajar yang tidak berjaya ke Kolej Vokasional akan disalurkan ke program aliran TVET di sekolah harian seperti mata pelajaran vokasional, program vokasional menengah atas dan juga program perantisan industri,” tambahnya.