
BUKIT KAYU HITAM, 25 Februari– Insiden kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir yang ditembak tidak mematahkan semangat beliau untuk bertugas.
- SAC Mohd Nasaruddin dikatakan selamat, stabil dan tetap bersemangat untuk meneruskan tugas walaupun cedera.
- Ketua Pengarah puji latihan dan kawalan emosi beliau dalam menghadapi insiden kritikal.
- Beliau kekal tenang dan komited, menjadi contoh kepada pegawai serta anggota di Bukit Kayu Hitam.
- Insiden berlaku ketika beliau dalam perjalanan menunaikan solat subuh dekat sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata SAC Mohd Nasaruddin kini berada dalam keadaan selamat, stabil dan kekal bersemangat tinggi untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah demi keselamatan negara.
“Seperti mana orang yang mengenali Tuan Badit (Komander AKPS) tahu, beliau berasal daripada unit yang telah terlatih. Perkara ini bukan biasa-biasa, tetapi beliau telah terlatih mengawal emosi dan reaksi.”
“Kita nampak beliau tenang dan selamat. Alhamdulillah, itu penting. Beliau masih terus komited dengan kerja dan itulah yang kita mahukan daripada semua pegawai dan anggota kita di Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini.
Beliau mengulas mengenai insiden kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir yang ditembak di susur masuk Masjid Al Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 5.40 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, SAC Mohd Nasaruddin dalam perjalanan ke masjid Al Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand untuk menunaikan solat subuh.