IPOH, 16 Mei - Jabatan Perhutanan Negeri Perak menutup sementara kebenaran mendaki di Gunung Suku, Ipoh Perak.
Ia berikutan keadaan yang agak berbahaya pada masa ini susulan hujan lebat sehingga menyebabkan kejadian kepala air berlaku di kawasan berkenaan.
Semalam, dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32 tahun, dan Ng Yee Chew, 46 tahun dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan dalam kejadian kira-kira 5 pagi.
Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Semasa dalam perjalanan turun, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras.
(Jabatan Perhutanan Negeri Perak menutup sementara kebenaran mendaki di Gunung Suku, Ipoh Perak)
Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop, kesemua 29 pendaki itu mempunyai permit memasuki hutan simpan kekal yang sah.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air.