SIBU, 1 Oktober - Dua buah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Lorong Sentosa 6, Kampung Usahajaya Baru di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.13 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati dua buah rumah berukuran Rumah berukuran kira-kira 6.1 × 12.2 meter dan 6.1 × 24.4 meter terbakar 100 peratus,” menurut kenyataan PGO JBPM Sarawak.
Operasi pemadaman diketuai Timbalan Penguasa Bomba Mohamad bin Suhaili dengan kekuatan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle RIM.
“Tindakan operasi dilakukan menggunakan dua aliran salur bantu mula serta satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua nozel sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.