
KULAI, 26 Februari – Tiga lagi sekolah diarah tutup berkuat kuasa semalam susulan kebakaran kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang dekat sini sejak Selasa.
- Tiga lagi sekolah diarah tutup selepas kebakaran kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang.
- Jumlah sekolah terjejas kini lima, termasuk dua sekolah Cina yang sudah diarahkan tutup sebelumnya.
- Semua murid terlibat akan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga esok.
- Operasi pemadaman masih dijalankan; 34 anggota bomba capai 90 peratus kawalan kebakaran.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2 dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai, menjadikan keseluruhan lima institusi pendidikan terjejas setakat ini.
Pejabat Pendidikan Daerah Kulai memaklumkan, kesemua murid di sekolah berkenaan akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hingga esok (Jumaat).
“Berdasarkan maklumat terkini setakat awal pagi ini, terdapat api yang masih dikesan aktif dan pihak bomba sedang giat melaksanakan operasi pemadaman,” kata Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin memaklumkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar turut diarah tutup dengan 1,531 murid di kedua-dua sekolah itu perlu menjalani PdPR.
Langkah itu susulan masih terdapat asap serta bau pembakaran yang berisiko menjejaskan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan semasa.
Setakat pagi ini, operasi pemadaman yang melibatkan 34 anggota bomba mencapai 90 peratus.