NIBONG TEBAL , 19 Januari - Usaha memadamkan api di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung berdepan kesukaran berikutan api masih marak di permukaan bawah tanah.
Pasukan bomba terpaksa memanjangkan 'nozel' ketika proses pemadaman bagi menjamin keselamatan anggota bertugas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Hafiz Hafizal Timaradin berkata, proses pemadaman tidak boleh dilakukan pada jarak dekat.
Proses memadam kebakaran perlu dijalankan secara teratur dan teliti tanpa sebarang faktor yang boleh membahayakan atau mengancam nyawa memandangkan operasi kali ini sangat berisiko.
"Benda ini kebakaran di belah dalam kalau diikutkan macam api sekam di atas permukaan terbakar cuma asap dari belah dalam. Cuma kita nak masuk agak berisiko juga. Macam bomba untuk kita serbu agak berisiko," kata Hafiz Hafizal di Pusat Media dekat Dewan Serbaguna Jawi, petang tadi.
Operasi pemadaman hari ini diperluas menggunakan kaedah pengeboman air (water bombing) dari udara oleh Unit Udara JBPM Subang.
Kaedah ini digunakan sebagai usaha untuk mempercepat pemadaman api.
Setakat pukul 5 petang tadi, 35 peratus kebakaran di kawasan tersebut berjaya dipadamkan.
Kawasan kebakaran sudah berkurangan kepada 10 ekar berbanding 16 ekar pada hari pertama kebakaran berlaku.