KUALA LUMPUR, 27 Januari- Kesepakatan Malaysia dan Indonesia untuk memperluas kerjasama pelbagai bidang adalah bukti keakraban kedua-dua negara terus utuh.
Menurut Felo Majlis Profesor Negara, Prof. Dr Azmi Hassan, rakyat kedua-dua negara juga, boleh menaruh keyakinan, beberapa isu tertangguh, mampu diselesaikan secara tertib.
"Keakraban ini kalau kita unjurkan kepada hubungan dua hala, ianya akan menguntungkan kedua-dua negara kerana keakraban di antara pemimpin itu amat penting dalam menyelesaikan banyak perkara di antara Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, kerjasama antara Petronas dan Pertamina pula boleh menjadi permulaan kepada penyelesaian tuntutan bertindih antara dua negara berjiran ini.
"Kerana kita mempunyai tuntutan bertindih yang masih belum diselesaikan, kawasan maritim yang mereka panggil Ambalat, kita di sebelah Sulawesi Timur iaitu di sebelah timur Sabah masih belum diselesaikan dan banyak penerokaan minyak dikatakan bertindih di antara satu sama lain.
"Jadi, kerjasama dengan Petronas dan Pertamina ini adalah satu langkah yang amat positif yang tidak akan berlaku, jikalau keakraban di antara dua pemimpin itu tidak tidak terjalin", katanya kepada RTM.