
KUALA LUMPUR, 26 Februari– Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pahang menzahirkan ucapan takziah atas tragedi kebakaran yang meragut lima nyawa sekeluarga dalam kejadian di Raub, pagi tadi.
- KEADILAN Pahang akan menyalurkan bantuan awal melalui Cabang Raub untuk meringankan beban waris mangsa.
- Fokus utama ialah memastikan kebajikan dan kelangsungan pendidikan dua anak mangsa yang masih belajar terbela.
- Parti menyeru orang ramai mendoakan agar urusan keluarga mangsa dipermudahkan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam satu kenyataan berkata pihaknya amat berdukacita atas insiden yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah seluruh warga Raub dan negeri Pahang.
Menurut beliau, kehilangan lima nyawa dalam satu keluarga secara serentak merupakan satu ujian yang amat berat dan meruntun jiwa.
“Saya mendoakan agar dua anak mangsa yang terselamat yang kini masing-masing sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Gambang dan SMK Dong diberikan ketabahan, kesabaran, dan kekuatan iman yang setinggi-tingginya. Kehilangan mengejut seluruh ahli keluarga tercinta merupakan satu trauma yang amat berat untuk dipikul,” kata kenyataan itu.
Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, KEADILAN Pahang melalui KEADILAN Cabang Raub akan segera menyalurkan bantuan awal bagi meringankan beban waris mangsa.
“Fokus utama kami adalah untuk memastikan kebajikan dan kelangsungan pendidikan kedua-dua anak mangsa yang masih belajar terus terbela dalam waktu yang sukar ini,” tambah kenyataan itu.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan.
Terdahulu, media melaporkan lima sekeluarga terkorban dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah kediaman di Raub, awal pagi tadi.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.