fb fb fb fb fb

KDN teliti keperluan tambah pegawai di pintu sempadan negara

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 20 November- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan menambah perjawatan pegawai imigresen khususnya untuk ditempatkan di 141 pintu masuk sempadan negara.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, langkah itu penting bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, sekali gus memperkasa keselamatan negara.

Jelasnya, ini terutama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu menjelang pembukaan ibu kota Indonesia di Nusantara.

"15 November 2023, pergerakan keluar masuk di ICQS Lubok Antu seramai 62,159 orang. KDN sedar bahawa bilangan pegawai sedia ada perlu ditingkatkan apabila Nusantara di buka nanti dan Jabatan Imigresen sentiasa mengkaji bagi memastikan perkhidmatan di pintu masuk negara jadi keperluan perjawatan di pintu masuk ketika ini sedang dikaji. Satu agensi tunggal sempadan negara akan ditubuhkan untuk kawal pintu masuk negara melalui 141 pintu masuk yang diwartakan. Perkara ini memerlukan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh atau JPA," katanya.

Dr. Shamsul menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi di Dewan Rakyat, hari ini.

Setakat ini, seramai 12 pegawai imigresen ditugaskan di ICQS Lubok Antu, Sarawak bagi menguruskan anggaran purata 5, 500 aliran keluar masuk rakyat Malaysia dan Indonesia setiap bulan.

Tambahnya, sejumlah RM18.3 juta diperuntukan bagi pemasangan kamera litar tertutup di ICQS Lubok Antu dan proses perolehan CCTV itu telah bermula sejak oktober bagi memperkukuh keselamatan di pintu masuk tersebut.

ZEHRA BINTI ZAMBRI