LENGGONG, 12 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha menambah baik sambungan bekalan air, menaik taraf kemudahan internet selain meningkatkan aspek keselamatan serta menyelenggara sungai dan tasik.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di Kampung Beng, Lenggong dijangka selesai penghujung tahun ini membabitkan kos RM2.5 juta.
Kemudahan infrastruktur itu bakal memberi manfaat kepada lebih 4,000 penduduk Kampung Beng yang juga dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah kelolaaan kementeriannya.
"Kampung ni ada satu kelebihan tersendiri kerana di sini juga adanya tapak warisan arkeologi bertaraf UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sejak 2012. Jadi kerana itu potensinya cukup besar.
"Bukan sahaja kita datangkan pengisian Kampung MADANI ini dari segi fizikal sahaja tapi program komuniti itu akan berlangsung secara berterusan dari sekarang hingga hujung tahun saya percaya Ahli Parlimen akan merangka program bersifat gotong-royong, pembaikan rumah, menambah baik kemudahan sebagainya semua itu ada dalam diari pelaksanaan kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri Kampung Beng di sini hari ini.
Selain dikenali sebagai antara destinasi pelancongan menarik, terdapat cadangan untuk menjadikan kampung itu sebagai laluan utama di masa depan.
Kampung Angkat MADANI KDN merupakan lanjutan daripada pengumuman Perdana Menteri melalui Belanjawan 2024.
Ia bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dengan bandar seterusnya membangunkan sosioekonomi komuniti setempat secara intensif.