fb fb fb fb fb

Saifuddin sifatkan pertemuan dengan Brian Nelson sebagai berterus-terang

Saifuddin Nasution Ismail

LENGGONG, 12 Mei- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan perjumpaan beliau dengan Setiausaha Rendah Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi Keganasan dan Risikan Kewangan, Brian Nelson pada Khamis lepas sebagai pertemuan yang berterus-terang dan berasaskan fakta.

Saifuddin berkata, beberapa perkara telah disampaikan beliau kepada Nelson dengan kerajaan menghargai hakikat bahawa Malaysia dan AS mempunyai sejarah kerjasama yang cukup panjang.

"Ia melibatkan hubungan diplomatik, perdagangan, ekonomi bahkan beberapa perkara kerjasama keselamatan. Jadi, itu kita hargai dulu.

"Saya menyampaikan sepertimana yang patut saya sampaikan bagi pihak kerajaan, beliau terima atau tidak itu kena tanya Brian Nelson," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri Kampung Beng di sini hari ini.

Saifuddin turut berkongsi bahawa Nelson ada mencadangkan agar Malaysia melaksanakan perintah sekatan, namun beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat yang mempunyai undang-undang sendiri.

"Dia bangkitkan soal cadangan mengenakan sekatan. Sudah tentu saya nyatakan pendirian kerajaan bahawa dasar kita sebagai sebuah negara merdeka, berdaulat dan ada kedaulatan undang-undang sendiri.

"(Saya tekankan) perintah sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sahaja yang akan diiktiraf oleh negara.

"Kalau ada mana-mana pihak berura-ura untuk mengenakan perintah sekatan berpandukan maklumat sesetengah pihak... saya nyatakan dengan baik bahawa polisi kerajaan tidak menerima pakai perintah sekatan itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan menghargai perkongsian AS berkaitan aspek keselamatan sambil menambah Malaysia memiliki kecekapan risikan daripada beberapa agensi perisikan negara termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (PPPM).

SITI AISHAH MD ISA