fb fb fb fb fb

KDN nafi menentang penubuhan MMC - Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 1 Mac- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan kononnya kementerian itu menentang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC).

Beliau sebaliknya berkata, majlis itu berada bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai halangan terhadap penubuhannya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menafikan berkenaan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) untuk menyekat kebebasan media secara dalam talian.

Sebaliknya, beliau menegaskan KDN hanya sedang berbincang meminda PPPA melibatkan kompaun sekiranya ada berlaku salah laku sahaja.

"Kita pun tidak ada cadangan pindaan itu, kalau ada pun baru terfikir sekarang ini nak pinda dari segi kompaun ke atas beberapa perlanggaran, itu sahaja.

"Tetapi pindaan yang berkaitan dengan mengawal media secara dalam talian tidak ada dalam radar kami. Jadi saya kena jelaskan perkara ini kerana semalam seharian saya menerima panggilan daripada rakan-rakan media, jadi saya nak jelaskan itu," katanya dalam sidang media di sini.

Pada 20 Februari lalu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan dalam fasa terakhir untuk membawa Draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media ke kabinet.

Penubuhan majlis media itu mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan proses dengan Jabatan Peguam Negara, dan perlu dipertimbang serta diputuskan oleh Jemaah Menteri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI