GEORGE TOWN, 14 Oktober - Pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak berupaya membawa limpahan pelaburan berimpak tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow percaya langkah itu menarik NCER sebagai lokasi pelaburan asing, sekali gus memacu kepada perkembangan ekonomi negara.

"Ini sebenarnya memperkukuhkan ekosistem dan memperluaskan rantaian industri kita dari sebahagian Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara dan ini secara langsung akan membawa pembangunan kepada NCER.
"Saya percaya Pulau Pinang akan memainkan peranan sebagai pusat kepada NCER. Kita tidak anggap ini sebagai satu persaingan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun ke -74 Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang, di sini.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut berharap agar kerajaan dapat menyegerakan projek meluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas yang kini tidak lagi mampu menampung bilangan pengunjung semasa.
"Kita bangga Pulau Pinang sebagai hab Elektrik dan Elektronik (E&E) yang bertaraf antarabangsa tetapi apabila sampai ke lapangan terbang ianya tidak seperti yang dibayangkan standard itu," katanya.