PEKAN, 13 Mei - Kira-kira 30 hektar kawasan hutan berhampiran Ladang KMT Jalan Pekan-Nenasi, Pekan dilaporkan terbakar akibat cuaca panas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi.
Beliau berkata seramai 26 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Peramu, Nenasi serta Gebeng bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi memadam yang masih dilakukan sehingga kini.
(Anggota bomba ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan
berhampiran Ladang KMT Jalan Pekan-Nenas/FOTO BOMBA)
Menurut beliau, lokasi merupakan kawasan tanah gambut yang menyebabkan kawasan mudah terbakar sekiranya cuaca panas dan terdapat punca nyalaan.
Tambah beliau, operasi pemadaman turut menerima bantuan daripada 11 pekerja ladang selain badan bukan kerajaan (NGO) yang menerbangkan dron bagi memantau lokasi kebakaran dari udara.
"Pihak kita juga menerima bantuan dron daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan(NGO) bagi memantau lokasi kebakaran dari udara," katanya,
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa turut hadir ke lokasi kejadian.