TAPAH, 9 Disember – Kawasan Bukit Bangkong di Tanah Hitam masih ditutup kepada orang ramai susulan insiden serangan harimau yang mengakibatkan kematian dua ekor lembu ternakan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata pemilik ternakan melaporkan kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang selepas mendapati dua ekor lembunya mati dengan kesan gigitan, manakala lima lagi hilang.
Susulan laporan tersebut, anggota Balai Polis Tanah Hitam bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian awal.
Operasi menjejak harimau sedang diteruskan, dan kawasan terbabit telah diisytiharkan sebagai zon larangan demi keselamatan penduduk.
“Setakat ini kawasan Bukit Bangkong dan persekitarannya masih kita tutup untuk sebarang aktiviti riadah. Polis menasihatkan penduduk, terutama di Ulu Chemor, Tanah Hitam dan Changkat Kinding, supaya berhati-hati kerana kita bimbang haiwan itu boleh merebak ke kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis dan Pengerusi PERKEP di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
Setakat ini tiada penemuan baharu dilaporkan dan tiada insiden membabitkan manusia.
Polis bersama PERHILITAN turut mempertingkatkan rondaan bagi menghalang pencerobohan termasuk oleh pemburu haram sepanjang operasi pencarian berlangsung.