(Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menunjukkan rokok yang dirampas)
TUMPAT, 10 April- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 900,040 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM606,000 termasuk cukai dalam tiga operasi berasingan di Pasir Puteh dan Machang, Selasa lalu.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, kesemua rokok berkenaan dipercayai diseludup dari selatan tanah air untuk pasaran di negeri itu.
Jelasnya, menerusi operasi pertama, anggota turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai bertindak sebagai transporter dan merampas 20,520 batang rokok di dalam sebuah kenderaan di tepi Jalan Kampung Gong Stopa, Jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu,Pasir puteh
“Serbuan kedua dilakukan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Dato Pasir Puteh dan berjaya merampas 28,800 batang rokok pelbagai jenama serbuan ketiga pula dilakukan ke atas sebuah rumah di Taman Sri Machang dan berjaya merampas 850,720 batang rokok pelbagai jenama”
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor, Tumpat.
Mengulas lanjut katanya, modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk rokok-rokok terbabit menggunakan kenderaan penumpang dengan jumlah yang sedikit dan disimpan di premis transit sebelum diedarkan.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti pembekal rokok seludup terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) dan Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

(Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long)