TASEK GELUGOR, 3 Jun- Karnival Kita MADANI peringkat negeri Pulau Pinang menjadi medium mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
Berlangsung di Midtown PERDA Kubang Menerong, karnival dijayakan 14 pempamer agensi kerajaan dan swasta dengan pelbagai aktiviti menarik.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Pulau Pinang, Sabri Said berkata karnival itu mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan setempat.
"Ia juga memperkasakan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus kepada masyarakat setempat selain dapat mengukuhkan hubungan baik antara pemimpin dan rakyat," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, pengunjung, Datin Dr Hazariah berkata menerusi karnival sedemikian, ia dapat membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.
"Karnival seperti ini membantu mereka yang memerlukan dan dapat membantu antara satu sama lain," katanya.
Pengunjung, Kuan Yan Lee pula berkata konsep diperkenalkan itu sangat baik untuk penduduk negara ini.
"Konsep ini sangat bagus untuk rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi Malaysia sebuah negara berbilang kaum. Ia dapat mendekatkan lagi hubungan rakyat negara ini," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Turaisingam Mahalingam berkata pengunjung karnival akan lebih memahami konsep diperkenalkan kerajaan.
"Program sebegini memang bagus untuk masyarakat. Mereka akan lebih memahani konsep dibawa kerajaan hari ini sekali gus memberikan lebih pencerahan mengenainya," katanya.
(Berlangsung di Midtown PERDA Kubang Menerong, karnival dijayakan 14 pempamer
agensi kerajaan dan swasta dengan pelbagai aktiviti menarik)