fb fb fb fb fb

Kanak-kanak lelaki empat tahun maut dihempap pokok

FOTO HIASAN

JEMPOL, 21 Februari- Polis mengesahkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun maut dihempap sebatang pokok ketika sedang beriadah dengan keluarganya di sebuah pusat rekreasi di Batu Kikir.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 1.17 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook menerusi satu kenyataan berkata kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan dada manakala kakak mangsa berusia sembilan tahun masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu memaklumkan dia telah membawa dua anaknya mandi di kawasan tersebut kira-kira 1 tengah hari.

“Ketika itu anaknya sedang mandi di kolam kanak-kanak kemudian bergerak ke arah bapanya yang berada di kawasan jeram.

“Semasa sedang berjalan ke arah bapanya, tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menghempap mangsa. Kedua-dua mangsa dihempap tetapi pada jarak berbeza,” katanya.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE