PUTRAJAYA, 21 Februari- Sebanyak 564 projek dan program pembangunan akan dilaksanakan di Selangor tahun ini di bawah Rolling Plan ke-4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.41 bilion.
Menurut Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, daripada jumlah itu 463 merupakan projek baharu, manakala bakinya sebanyak 101 adalah projek sambungan.
Perkara tersebut dimaklumkan susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, 20 Februari dan dihadiri semua ketua jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri.
"RP4 Selangor menumpukan pembangunan 471 projek fizikal melibatkan skop projek utama mencakupi kelengkapan, peralatan ICT dan bukan ICT, pembelian bangunan, pembinaan, pengurusan fasiliti, penyenggaraan, perolehan tanah serta penyelidikan.
"Manakala 93 butiran projek bukan fizikal diluluskan bagi pembiayaan dana, program ICT, kajian dan program latihan.
"Selain itu, antara perkara yang turut diteliti adalah prestasi RP3 RMKe-12 Selangor yang merekodkan 99.65 peratus atau sejumlah RM6.78 bilion telah dibelanjakan daripada RM6.81 bilion peruntukan bagi tahun lepas.
"Perbelanjaan tersebut melibatkan 179 projek berjaya disiap dan dilaksanakan antaranya projek naik taraf hospital, pembinaan sekolah dan projek mengganti dan melebarkan jambatan," menurut kenyataan itu.
Selangor juga berjaya merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menambah baik keperluan pelajar dalam melaksanakan projek naik taraf dan penyelenggaraan kecil di 753 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), membabitkan peruntukan RM52.71 juta pada November lepas.