
SEREMBAN, 28 Januari – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya di Jalan Tunku Hassan, di sini pada Selasa.
- Anak dua tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta selepas dipercayai ditinggalkan oleh ibu yang bekerja sepanjang hari.
- Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
- Ibu ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 kira-kira pukul 6.15 petang daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu.
Siasatan awal mendapati mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta selepas dipercayai ditinggalkan oleh ibunya yang bekerja berhampiran kawasan kejadian sejak pukul 8 pagi.
“Ibu mangsa dikatakan terlupa menghantar anaknya ke rumah pengasuh dan hanya menyedari perkara itu kira-kira 5 petang selepas selesai bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebelum dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa ditahan bagi membantu siasatan.