fb fb fb fb fb

Kampung & Sekolah Angkat MADANI: NRES naik taraf kemudahan penduduk, pelajar

Foto Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)

PENDANG, 15 Disember - Penduduk Kampung Nangka Siam dan Lahar Tunjung, serta warga Sekolah Kebangsaan Pokok Asam kini menikmati pelbagai kemudahan baharu hasil pelaksanaan Projek Kampung dan Sekolah Angkat MADANI oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Dengan peruntukan melebihi RM1 juta, projek pembangunan komuniti itu memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui penambahbaikan infrastruktur dan pelaksanaan program sosial.

Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr. Ching Thoo Kim berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen NRES dalam memastikan pembangunan desa seiring pemeliharaan sumber asli, selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Antara projek dilaksanakan termasuk pembinaan telaga tiub, naik taraf dewan awam, jalan kampung dan tanah perkuburan, selain program kemasyarakatan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi di bawah NRES serta rakan strategik.

Sementara itu, bagi Sekolah Angkat MADANI, peruntukan RM100,000 disalurkan untuk menaik taraf kemudahan sekolah termasuk penyediaan bilik darjah pintar, kemudahan ICT serta keceriaan sekolah dengan sokongan rakan korporat.

Program tersebut membuktikan kejayaan pendekatan "Whole of Nation" dalam memacu pembangunan desa secara inklusif dan mampan.

ROSLINA BINTI DIN