JERANTUT, 28 Februari- Bantuan sebanyak RM30,000 disumbangkan kepada rakyat Malaysia yang koma dan strok di Korea Selatan.
Kamarulzaman Mohd Fauzi@Jazuli, 50 tahun, merupakan rakyat Pahang dari Jerantut, kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan.
Ahli Dewan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata kerajaan negeri Pahang bersimpati dengan nasib Kamarulzaman dan akan menampung kos pengurusan membawanya pulang ke tanah air.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan menampung bayaran tunggakan rawatan hospital tersebut.
"Dua kali Yang Berhormat Menteri Besar berhubung dengan saya untuk berunding bersama keluarga dan setuju untuk membantu keluarga dengan jumlah sebanyak RM30,000," katanya kepada media selepas menerima kunjungan keluarga Kamarulzaman di Jerantut, Pahang.
Pada 30 Januari lalu kerajaan negeri sudah memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Kamarulzaman bagi menampung bayaran bil hospital ketika dia mula menerima rawatan dalam tempoh 10 hari di sana.
"Kerajaan negeri berterima kasih kepada Wisma Putra, Kedutaan Malaysia dan Kedutaan Korea Selatan di Seoul yang memberikan kerjasama memudahkan Kamarulzaman dibawa pulang ke tanah air," tambahnya.
Kamarulzaman dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Mac nanti.