fb fb fb fb fb

Kakitangan RTM Perlis jalani latihan CDERT

(Kakitangan RTM Perlis jalani latihan CDERT di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Negeri di Kangar)

KANGAR, 13 September- Seramai 22 kakitangan RTM Perlis terpilih bagi menjalani latihan asas sebagai persediaan menghadapi kes kecemasan ketika melaksanakan tugasan di pejabat mahupun di lapangan.

Kursus asas selama dua hari yang berakhir hari ini melibatkan kakitangan bahagian pentadbiran, rancangan, kejuruteraan, pemancar dan berita ehwal semasa.

Menurut Timbalan Pengarah Penyiaran Perlis, Zarah Naumul, sepanjang dua hari ini kakitangan terpilih akan menjalani latihan asas pertolongan cemas termasuk balutan, ikatan dan simpulan, kaedah pemulihan pernafasan (CPR), kawad, usungan dan asas melawan kebakaran.

Latihan tersebut penting bagi semua kakitangan terlibat dalam memberi liputan sahih berkaitan bencana yang berlaku di Perlis selain menjadi barisan hadapan jika berlaku kecemasan di pejabat mahupun tugasan bersama Angkatan Pertahanan Awam melibatkan komuniti.

Beliau memaklumkannya pada Kursus Asas Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) RTM Perlis di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Negeri di Kangar.

Latihan kecemasan dan pengurusan bencana yang diberikan oleh APM diharap dapat membantu kakitangan RTM Perlis untuk memberi tindak balas awal seterusnya mengurangkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa ketika sekiranya berlaku kes kecemasan disamping pelaksanaan tugasan.

Kerjasama antara RTM dan APM adalah selaras dengan hasrat kepimpinan tertinggi RTM sendiri bagi memastikan berita dan hebahan berkaitan bencana dapat dilaporkan dengan pantas dan tepat.


(Kakitangan RTM Perlis jalani latihan CDERT di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Negeri di Kangar)

Media Baharu