fb fb fb fb fb

Inisiatif Wanita Bangkit bantu suri rumah jana pendapatan

(Seminar Wanita Bangkit Berniaga dihadiri oleh 110 peserta)

CHANGLUN, 13 September- Status suri rumah sepenuh masa tidak bermakna seorang wanita tidak mampu menjana pendapatan sendiri bagi membantu keluarga dan hal ini diberi penekanan oleh kerajaan menerusi inisiatif ‘Wanita Bangkit’.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan Negeri Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, inisiatif anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu bertujuan membantu golongan wanita yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan balu untuk bangkit dan melatih mereka berdikari membangun ekonomi.

"Program ini juga membuka lembaran baharu bagi golongan itu agar mereka dapat menyara kehidupan. Ia program hebat yang melatih wanita untuk memulakan perniagaan sehingga mampu berdikari dari segi ekonomi,” ujarnya ketika ucapan perasmian Seminar Wanita Bangkit Berniaga.

Menurut salah seorang peserta, Rias Riati yang merupakan usahawan spa kecantikan, beliau mendapat impak yang positif selepas hadir Seminar Wanita Bangkit ini.

“Alhamdulillah, banyak info yang baik diterima daripada program ini dan yang paling teruja ketika saya hadir ke sini adalah boleh bekerjasama bersama rakan-rakan niaga yang lain disamping dapat menerima idea-idea yang bernas daripada semua peserta,” ujarnya.

Rias turut menyifatkan inisiatif berkenaan adalah usaha terbaik daripada kerajaan negeri dalam membantu wanita-wanita untuk terus bangkit dan bersemangat dalam menjana pendapatan keluarga.

Seramai 110 wanita hadir ke Seminar Wanita Bangkit yang diadakan di Changlun.


(Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan Negeri Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (kanan)

ketika menghadiri Seminar Wanita Bangkit Berniaga di salah sebuah hotel terkemuka di Changlun)

Media Baharu