fb fb fb fb fb

Kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam lihat secara keseluruhan aspek perkhidmatan

(Foto hiasan)

PUTRAJAYA, 7 Ogos- Kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam akan melihat secara keseluruhan aspek perkhidmatan penjawat awam meliputi aspek saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata, untuk permulaan, kajian ini akan memberi penekanan kepada kemampanan saraan penjawat awam bagi memastikan upah, gaji dan elaun adalah setimpal dengan tanggungjawab serta seiring dengan peningkatan kos sara hidup.

"Sementara kajian ini diteliti, kerajaan komited untuk membuat penambahbaikan termasuk elemen kemudahan elaun untuk dijadikan sebahagian daripada pembentangan Belanjawan MADANI yang akan dibentangkan pada bulan Oktober ini.


(Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali/BERNAMA)

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PA) Bilangan 2 Tahun 2023 pada hari ini bagi membincangkan perkara-perkara yang melibatkan perkhidmatan awam berkaitan penambahbaikan dan kebajikan anggota penjawat awam terutamanya status kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam", menurut kenyataan itu.

"Kali terakhir semakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada tahun 2001 dan penambahbaikan gaji tidak dibuat sejak tahun 2013.

"Semasa Perhimpunan Hari Pekerja Tahun 2023 pada 1 Mei 2023, Perdana Menteri telah mengumumkan untuk membuat semakan semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam.

Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan beliau sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam yang merupakan tulang belakang kepada negara.

Media Baharu