
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memberi jaminan bahawa kajian berkaitan cadangan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 tidak akan menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu selain turut mengambil kira sejarah pembentukan ibu negara.
- Kajian UIAM tentang DBKL dan Akta Ibu Kota sedang dijalankan dan dijangka siap hujung bulan ini.
- Kajian tidak akan menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu dan menghormati sejarah.
- Kementerian memperkenal mekanisme pengukuhan tadbir urus, had kuasa Datuk Bandar dan pendigitalan perolehan.
Beliau berkata, kajian terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semakan Akta Ibu Kota kini sedang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dijangka siap pada akhir bulan ini.
Jelasnya, kajian berkenaan dimulakan sebelum beliau memegang kementerian itu pada 17 Disember 2025.
“Saya bagi jaminan, jangan risau, kajian itu sangat menyeluruh dan tidak akan membuat apa-apa keputusan tergesa-gesa tanpa mengambil kira sejarah.
“Sejarah itu penting dan kita menghormati sejarah itu, saya kata kita tunggu dulu hasil kajian dan saya juga akan pastikan kita bawa kepada Jemaah Menteri untuk bincangkan.
“Kita tidak akan menyentuh kuasa-kuasa Agong ataupun kuasa-kuasa raja-raja saya bagi jaminan itu, jangan risau kerana apa yang kita akan wujudkan dalam pentadbiran DBKL adalah berasaskan undang-undang bukan saja Akta Ibu Kota sedia ada tetapi kita menghormati semua kuasa raja, kuasa eksekutif, kuasa legislatif,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew di Dewan Negara, hari ini.
Isu pelantikan Datuk Bandar sebelum ini dibangkitkan susulan perbincangan dalam forum dan media sosial yang membandingkan model tadbir urus Kuala Lumpur dengan ibu negara lain, termasuk cadangan supaya Datuk Bandar dipilih menerusi pilihan raya.
Sementara itu, Hannah memaklumkan, kementeriannya turut memperkenalkan beberapa mekanisme bagi memperkukuh tadbir urus dan ketelusan pengurusan kewangan DBKL memandangkan belanjawannya yang besar berbanding pihak berkuasa tempatan lain.
Antaranya ialah penetapan had kuasa Datuk Bandar dalam pengurusan perbelanjaan, keputusan dibuat secara konsensus melalui jawatankuasa serta penyusunan semula struktur jawatankuasa audit DBKL.
Beliau berkata, pengerusi Jawatankuasa Audit kini dilantik daripada kalangan ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur bagi memperkukuh kebebasan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam proses semakan serta pemantauan kewangan dan operasi.
Selain itu, proses pendigitalan turut diperkasakan termasuk dalam urusan perolehan dan pendaftaran pembekal bagi mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan pentadbiran.