KUALA LUMPUR, 3 Febuari - Pelbagai aduan telah dibuat oleh pembantu rumah terutamanya warga Indonesia yang dizalimi majikannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata satu kaedah baharu sedang diperhalusi setelah perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri Indonesia diadakan dalam sesi lawatannya ke Indonesia baru-baru ini.
"Dalam perbincangan itu, saya ingin mencari satu kaedah yang lebih sesuai terutamanya apabila mereka sudah mula mendaftar untuk berkerja sebagai pembantu rumah.
"Mereka tidak boleh mengunakan pasport biasa, namun perlu ada pasport khas di antara Malaysia dan Indonesia. Untuk menjadi pembantu rumah, mereka tidak boleh melakukan kerja lain," jelasnya kepada Berita RTM selepas rakaman rancangan Inklusif di Angkasapuri.
Tambahnya, Kementeriannya juga sedang mencari kaedah terbaik untuk mengesan keberadaan pembantu rumah asing di rumah majikan bagi mengelakkan mereka melakukan kerja di luar.
"Pada masa yang sama, mencari penyelesaian dalam menangani isu pembantu rumah warga asing yang dizalimi majikan," katanya.