fb fb fb fb fb

Bayaran pampasan kepada jemaah umrah akan dibuat dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 3 Februari - Pembayaran pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat tersebut akan diberikan dalam anggaran tempoh dua minggu dari sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sedang dalam proses penyenaraian nama-nama yang terlibat.

"Insyaallah saya sedang menunggu laporan pertemuan antara MOTAC dengan pihak Tabung Haji sendiri dan MOTAC juga akan menghubungi semua agensi dan nama yang terkandas daripada pergi umrah baru-baru ini dan kalau nama sudah ada dalam masa seminggu dua ini siap.

"Bila sudah siap senarai nama itu kita akan masukkan dalam akaun Tabung Haji dan mereka boleh ambil dimana-mana pejabat Tabung Haji seluruh negara," katanya selepas memberikan watikah pelantikan kepada Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baharu, Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil di Kompleks Islam, di sini.

Tambahnya, jumlah yang bakal diterima jemaah akan diumumkan apabila semua proses selesai.

Media Baharu