PUTRAJAYA, 30 April - Minggu akhir Ramadan, umat Islam diingatkan segera menunaikan zakat fitrah agar tidak terburu-buru disaat akhir.
Bagi memudahkan urusan itu kaunter zakat pandu lalu di masjid-masjid terpilih disediakan untuk orang ramai menyempurnakan rukun Islam ketiga itu.
(Zikri ketika ditemui pemberita)
"Kita ada lebih kurang sepuluh amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kita memberi pilihan kepada para jemaah atau orang ramai untuk membayar dengan dua cara. Iaitu yang pertama kita melalui 'drive thru' zakat di lobi masjid dan yang keduanya adalah kita membuka kaunter di dewan solat Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), jadi ada dua pilihanlah untuk dijadikan pilihan oleh orang ramai," menurut Penolong Pengarah MTMZA, Muhammad Zikri Zainal di sini.
Inisiatif yang mula diperkenalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu tetap diteruskan pada tahun ini bertujuan memberi pilihan kepada orang ramai khususnya umat Islam untuk membayar zakat.
"Dia memudahkan sebab bila kita sampai tu Ustaz di situ terus ada, terus kita bayar, baca lafaz niat and kemudian selesai. Begitu juga bagi yang membawa keluarga yang kurang sihat contohnya sakit kaki, tak ada masalah. Duduk dalam kereta sahaja," kata pembayar zakat Muhamad Amar Haikal.
"Mudah, cepat, disini cepat mudah dan pantas. Cantik Islam begitu mudah, tetapi janganlah ambil mudah, tahniah," kata pembayar zakat, Hamdan Mohamad.