KUALA LUMPUR, 7 Disember- Pemilihan calon ke program matrikulasi dan asasi adalah menggunakan kaedah sistem matrikulasi.
Sistem itu tidak mengkhususkan kuota tertentu kepada pemohon, sebaliknya terbuka kepada seluruh pelajar warganegara Malaysia.
Bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Muhammad Yusof Apdal, pemilihan dibuat berpandukan kelayakan serta diukur berdasarkan kecemerlangan dan pencapaian calon yang membuat permohonan.
Bagi bidang pengajian kompetatif seperti perubatan pula menggunakan kaedah temuduga sebagai syarat pemilihan tambahan.
"Yang cemerlang itu tentunya diberikan keutamaan. Dari segi penilaian itu tentu kalau 'in terms of academy achievement', dia itu di atas. Tentu dia 'would be put it in short listed candidates'. Tetapi kita ada beberapa syarat-syarat tambahan lain.
"Kita tengok keputusan dia... dan kita tengok syarat tambahan yang digunakan. Maka dari situ kita akan pilih calon ini dan tidak kita memilih atas kepentingan bangsa, agama dan negeri. Kita lihat kelayakan mengikut dan memenuhi meritrokasi yang telah kita sediakan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Dr. Lingeshwaran di Dewan Negara.
Dalam pada itu, seramai 2,279 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kaum India telah memohon bagi mengikuti program asasi di universiti awam dan politeknik sesi akademik 2023/2024, menerusi UPU online.
Seramai 2,270 calon daripada pemohon tersebut layak dipertimbangkan penawaran ke program asasi universiti awam dan politeknik.
"Daripada jumlah tersebut seramai 703 berjaya ditawarkan ke program asasi dengan pecahan 588 program asasi di universiti awam dan 115 ke program asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), politeknik dengan kadar kejayaan keseluruhan sebanyak 30.97 peratus.
"Bagi program asasi kepada calon lepasan SPM kaum India 237 menyatakan setuju terima dan 232 telah mendaftar bagi penawaran perdana dan tidak termasuk data pendaftaran rayuan," katanya ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Senator Dr. A. Lingeshwaran.