fb fb fb fb fb

Kadar kematian sakit jantung golongan muda meningkat

Gambar hiasan

SHAH ALAM, 28 September - Kadar kematian akibat penyakit jantung mencatatkan peningkatan sebanyak 17.3 peratus tahun lalu, dengan golongan muda berusia 30 hingga 40-an menjadi antara penyumbang terbesar.

Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu amat membimbangkan kerana semakin ramai individu berusia di bawah 58 tahun mengalami penyakit jantung, berbanding purata antarabangsa sekitar 64 tahun.

"Apa yang penting di sini, kita melihat sekarang ini mereka yang sakit jantung usia yang semakin muda iaitu kurang dari 58 tahun, kalau kita bandingkan di peringkat antarabangsa lebih kurang 64 tahun...

"Jadi inilah kebimbangan kita di IJN dan juga di pihak Kementerian Kesihatan, melihat kepada usia yang muda iaitu 20, 30, 40 tahun dah mula sakit jantung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Jantung Sedunia 2024 di Shah Alam, dengan tema ‘Neon Sparks Healthy Embarks’, yang turut menampilkan pelbagai aktiviti kesedaran berkaitan penyakit jantung.

Gaya hidup tidak aktif, diet tidak sihat, merokok, dan peningkatan tekanan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung dalam kalangan golongan muda.

IJN dan Kementerian Kesihatan kini memberi tumpuan kepada langkah pencegahan penyakit jantung selain rawatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN