HULU TERENGGANU, 3 Februari- Polis Kontinjen Terengganu merekodkan penurunan kadar kemalangan jalan raya menerusi Op Selamat 23 yang dijalankan sempena Tahun Baharu Cina bermula 28 Januari hingga 2 Februari lalu berbanding Op Selamat 21.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata 170 kes kemalangan direkodkan menerusi Op Selamat 23 di negeri itu, berbanding 205 kes menerusi operasi yang sama pada 2024.
Beliau berkata satu kemalangan maut direkodkan di Kemaman melibatkan penunggang motosikal berbanding tiga kemalangan maut dalam OP Selamat 21.
Beliau turut memaklumkan saman yang dikeluarkan juga mencatatkan penurunan yang signifikan iaitu 7,739 pada Op Selamat 23, berbanding 13,405 pada Op Selamat 21.
"Kebanyakan yang kita kesan membawa kenderaan melebihi had laju dibenarkan. Kalau kita lihat di jalan persekutuan ditetapkan 80 km/j. Jadi mungkin bagi seseorang 80 km/j itu terlalu perlahan. Jadi berlakunya membawa melebihi had dibenarkan", katanya kepada media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu yang baharu Superintenden Sharudin Abdul Wahab di Hulu Terengganu.
Deputi Superintenden Zainul Mujahidin akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Pada majlis itu juga turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Hulu Terengganu diantara DSP Raja Maznah Raja Ghazali kepada Pengerusi yang baharu ASP Tuan Rosnah Tuan Hussain.