fb fb fb fb fb

KADA optimis 93 peratus kawasan padi capai hasil maksimum

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 23 Mac – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menjangkakan sebanyak 93 peratus atau 25,055 hektar tanaman padi di bawah seliaannya akan mengeluarkan hasil maksimum bagi musim 2/2024.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata setakat ini 4,574 hektar padi telah dituai dan menunjukkan pengeluaran hasil yang jauh lebih baik berbanding tiga musim sebelumnya.

Menurutnya, pengeluaran hasil kali ini mungkin yang terbaik selepas petani terpaksa berdepan kerugian akibat faktor cuaca seperti hujan berlebihan dan kemarau.

“Kita anggarkan pada bulan Jun ini keseluruhan kawasan di bawah jagaan KADA dapat dituai sepenuhnya. Ini bermakna musim 2/2024 boleh dianggap sebagai satu musim yang berjaya,” katanya selepas Majlis Iftar Perdana Pengerusi Bersama Warga KADA dan Media, di sini pada Sabtu.

Selain faktor cuaca, Khalid turut memaklumkan petani berdepan ancaman penyakit karah dan padi hampa yang berlaku di kawasan Kota Bharu Utara (KBU), serta serangan burung di Bendang Pasir Mas.

Dalam pada itu, KADA akan menyegerakan pembinaan cerucuk penghadang (sheetpile) bagi memastikan rumah Pam Kemubu 1 dapat beroperasi dengan baik.

Projek baik pulih sepanjang 500 meter itu melibatkan peruntukan sekitar RM5 juta dan akan dilaksanakan sementara menunggu pembinaan secara kekal.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN