Kabinet setuju semak keputusan kes Amir Hariri, pindaan Akta Perhimpunan Aman diteruskan

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Januari – Jemaah Menteri bersetuju untuk memfailkan semakan semula kehakiman terhadap keputusan mahkamah berkaitan kes Amir Hariri Abd Hadi, selaras dengan keputusan dasar kerajaan untuk meneruskan pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah Menteri setuju memfailkan semakan semula kehakiman berkaitan keputusan mahkamah kes Amir Hariri.
  • Keputusan itu selaras dengan dasar kerajaan untuk meneruskan pindaan Akta Perhimpunan Aman.
  • Perkara dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan perbincangan.
  • Pindaan akan memastikan akta selaras dengan Perlembagaan dan prinsip hak asasi.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kabinet sebelum ini telah membuat keputusan dasar untuk meminda akta berkenaan dan pada mesyuarat hari ini, Jemaah Menteri memutuskan agar perkara itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

“Jemaah Menteri telah membincangkan satu keputusan untuk memfailkan review ataupun semakkan semula ke atas satu keputusan berkait kes Amir Hariri Abd Hadi mengenai keperlembagaan akta seksyen tertentu dalam Akta perhimpunan Aman.

“… dan Jemaah Menteri pada minggu lalu telah membuat satu keputusan dasar untuk membuat pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman.

“Maka hari ini Jemaah Menteri telah memutuskan agar maklumat disampaikan kepada Peguam Negara, Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan.

“Oleh sebab kita telah bersetuju, kerajaan, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman”, jelasnya dalam Sidang Media Pasca Kabinet Pertama 2026 di Putrajaya.

Tambahnya, semakan kehakiman tersebut perlu dilihat secara menyeluruh, memandangkan kerajaan telah bersetuju secara prinsip untuk meminda peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman.

Beliau turut menegaskan, tindakan susulan berhubung perkara itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara, selaras dengan keputusan dasar Kabinet yang mahu memastikan Akta Perhimpunan Aman dipinda mengikut kerangka Perlembagaan dan prinsip hak asasi.