fb fb fb fb fb

K-KOMM terus komited banteras penyebaran berita palsu

(Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) K-KOMM, Mastura Ahmad Mustafa
berucap mewakili Menteri, Tan Sri Annuar Musa pada Forum Kebebasan Media Sedunia) 

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) terus komited membanteras penyebaran berita palsu menerusi pelbagai platform selain mengekalkan kebebasan media.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia memandangkan Malaysia terus menjadi mangsa penyebaran berita palsu khususnya ketika fasa pandemik COVID-19.

Keadaan itu mewujudkan situasi yang sukar kepada rakyat untuk mendapatkan berita yang sahih ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

"Peningkatan berita palsu perlu ditangani, kewujudan berita palsu dalam medium komunikasi akan menyekat masyarakat daripada berkomunikasi dan mengurangkan keupayaan masyarakat untuk terlibat dalam wacana yang produktif.

"Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha yang membolehkan rakyat Malaysia membezakan maklumat palsu daripada berita palsu dan mengesahkan sebarang maklumat yang mereka terima," kata beliau pada Forum Kebebasan Media Sedunia yang diadakan secara maya, di sini.


(Foto hiasan)

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) K-KOMM, Mastura Ahmad Mustafa.

Tambah Annuar lagi, penyebaran berita palsu boleh mewujudkan situasi yang negatif di kalangan rakyat dan pihak media juga perlu memainkan peranan dalam menangkis berita palsu.

Buat masa ini, kerajaan telah mewujudkan portal SEBENARNYA.MY bagi membolehkan orang ramai mendapatkan sumber info yang sahih.

Forum Kebebasan Media Sedunia tersebut merupakan anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Kedutaan Belanda.

Media Baharu