fb fb fb fb fb

Jurutera tempatan buktikan kemampuan, cetus inovasi baharu

Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Jurutera tempatan diseru terus berinovasi dan melahirkan teknologi baharu bagi memastikan Malaysia mampu mendepani cabaran perubahan iklim, pembangunan mampan dan perkembangan teknologi global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, aspek reka bentuk dan perancangan perlu mengambil kira kelestarian termasuk risiko banjir, kekurangan air dan cabaran ekonomi digital.

“Semua ini adalah cabaran yang sedang dan akan kita hadapi. Inilah peranan Lembaga Jurutera bersama seluruh jurutera, bagaimana kita berdepan krisis dan memastikan negara terus maju.

Pertama, menjamin pertumbuhan ekonomi negara. Kedua, memastikan kesejahteraan rakyat. Ketiga, mengurangkan kerugian akibat bencana, apatah lagi kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penganugerahan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) di sini, malam tadi.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan, jurutera Malaysia telah membuktikan kemampuan mengendalikan projek mega bertaraf dunia, antaranya Projek Loji Rawatan Air Langat 2 bernilai RM8 bilion.

“Saya yakin jurutera tempatan sememangnya berkeupayaan. Minggu ini sahaja kita merasmikan Projek Langat 2, yang turut mengagumkan Perdana Menteri.

Pada awalnya beliau menyangka reka bentuk projek itu hasil kepakaran luar negara, namun hakikatnya ia adalah hasil kerja jurutera, kontraktor, perunding dan tenaga profesional tempatan, meskipun ada penggunaan teknologi dari luar,” jelasnya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan penghargaan antaranya Anugerah Sebutan Khas Kejuruteraan Antarabangsa 2024, Anugerah Jurutera Muda Kebangsaan 2025 dan Anugerah Jurutera Kebangsaan 2025.

“Syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah.

Semoga pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi dorongan kepada yang diraikan, malah kepada seluruh warga jurutera untuk terus menyumbang demi pembangunan negara,” tambahnya.

Selain meraikan pencapaian jurutera tempatan, LJM turut menyampaikan penghargaan khas kepada rakan media dan pertubuhan profesional kejuruteraan yang berperanan membentuk persepsi positif masyarakat terhadap bidang itu.

Majlis berkenaan merupakan acara kemuncak Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2025 (NEC 2025) yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 Ogos lalu.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN