fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak dan Pahang meningkat

Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak dan Pahang meningkat manakala di Kedah dan Melaka berkurangan, setakat 4 petang.

Di PERAK, Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir yang berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,407 orang petang ini berbanding 1,286 mangsa pagi tadi.

Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir, paras air Sungai Bidor di Hilir Perak, Sungai Rui di Hulu Perak serta Sungai Perak di Perak Tengah melepasi tahap amaran.

Di PAHANG, jumlah penduduk terjejas yang ditempatkan di sembilan PPS turut meningkat kepada 1,803 berbanding 1,643 orang pagi tadi.

Di KEDAH, jumlah penduduk terjejas yang ditempatkan di tujuh PPS menurun sedikit kepada 839 berbanding 848 orang dari dua daerah iaitu Pendang dan Kota Setar.

Laman sesawang rasmi Public Info Banjir memaklumkan paras air Sungai Anak Bukit di Kota Setar melepasi tahap bahaya.

Sementara itu di MELAKA, jumlah penduduk terjejas banjir berkurangan apabila mencatatkan penurunan kepada 12 orang petang ini berbanding 31 pagi tadi. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI