fb fb fb fb fb

Jumlah miskin tegar di Perak menurun 58 peratus

FOTO Pejabat Pembangunan Negeri Perak -ICU JPM

IPOH, 24 Februari- Perak mencatatkan penurunan 58 peratus jumlah miskin tegar bagi tahun 2023 melalui pelaksanaan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial oleh Pejabat Pembangunan Negeri (ICU).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu kenyataan berkata, ia berdasarkan data eKasih pada tahun lalu seramai 9,402 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berada pada kategori tersebut telah menurun kepada hanya  3,911 KIR.

Jelasnya, program tersebut yang menyatukan semua agensi pemberi bantuan bawah satu platform itu, banyak membantu mempermudah golongan miskin tegar dalam mendapatkan bantuan yang mereka perlukan. 

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak pada Jumaat telah membincangkan perkembangan terkini projek persekutuan dibawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12).

Jelasnya sebanyak 422 program dan projek pembangunan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion akan dilaksanakan tahun ini. 

Kerajaan negeri juga akan memberi fokus kepada pelaksanaan 359 projek fizikal dengan peruntukan sejumlah RM1.28 bilion atau 83 peratus daripada keseluruhan peruntukan itu.

Ia termasuk projek-projek utama seperti pembekalan kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembelian bangunan, pembinaan baharu, penyenggaraan serta perolehan tanah.

Sebanyak 63 projek lain yang berjumlah RM267 juta atau 17% adalah projek bukan fizikal yang meliputi pembiayaan dana, program-program ICT, kajian serta program latihan.

Ia juga selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menambah baik keperluan pelajar melalui projek peningkatan dan penyelenggaraan kecil.

Tambah Saarani, kerajaan negeri telah menyempurnakan projek yang membabitkan 795 sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lalu dengan peruntukan sejumlah RM55.65 juta.

Turut diumumkan beberapa projek pembinaan yang telah selesai antaranya pembinaan Jambatan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop dan pembinaan Politeknik Bagan Datoh. 

Beberapa kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput dan kerja naik taraf Galeri Pangkor dan kemudahan pelancongan Di Dataran Nelayan Pulau Pangkor turut berjaya diselesaikan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE