fb fb fb fb fb

Jumlah kenderaan masuk ke Johor dijangka meningkat bermula tengah malam ini - Ka Siong

KOTA TINGGI, 31 Mac - Jumlah kenderaan masuk ke Johor dijangka meningkat mendadak susulan pembukaan dua laluan pintu masuk sempadan di Tambak Johor dan Link Kedua, bermula tengah malam ini hingga hujung minggu nanti.

Ini berikutan ramai pengembara Singapura mengambil peluang pengecualian caj jalan dan tol selama seminggu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata enam laluan udara menerusi lapangan terbang antarabangsa di negara ini juga dibuka tanpa sekatan kepada pengembara.

"Konsepnya kita sudah buka pada 1 April maka berjalan seperti biasa dan yang penting mereka tidak perlu menjalani kuarantin wajib, dan mereka hanya disyaratkan kalau udara boleh buat saringan RTK di lapangan terbang ataupun tempat penginapan 24 jam memasuki Malaysia," katanya.

(Wee Ka Siong pada Majlis Perasmian Terminal Feri Desaru Coast di Kota Tinggi)

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Terminal Feri Desaru Coast di sini hari ini.

Terminal Desaru Coast yang dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bakal menjadi pintu masuk baharu antarabangsa ke-16 di negara ini.

Pembukaan terminal dilakukan dalam dua fasa dengan operasi enam bulan pertama ke Tanah Merah, Singapura kemudian disusuli enam bulan berikutnya perkhidmatan sampai ke Batam dan Bintan, Kepulauan Riau Indonesia.

Media Baharu