fb fb fb fb fb

Jumlah belia terlibat subsektor makanan di Perak meningkat

Foto hiasan / Foto RTM

IPOH, 26 Februari -Jumlah belia yang terlibat dalam subsektor tanaman makanan di Perak meningkat kepada 292 orang tahun lalu berbanding hanya 99 orang pada tahun 2021. 

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, peningkatan itu menunjukkan keseriusan kerajaan negeri untuk memperkasa belia melalui Briged Muda Petani Moden. 

Jelasnya, menerusi program tersebut, golongan belia di bawah umur 40 tahun diberi bantuan sepenuhnya termasuk penyediaan kawasan serta bantuan input pertanian seperti baja, racun, bahan tanaman dan sistem pengairan.

Kerajaan negeri telah mewujudkan beberapa program pembangunan modal insan usahawan tani seperti latihan dan kursus yang dijalankan di pusat-Pusat Latihan Pertanian Jabatan Pertanian, setiap tahun.

"Pelbagai kursus telah dirancang selaras dengan kehendak dan keperluan semasa secara fizikal dan juga 'hands on'", katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Pantai Remis, Wong May Ing pada Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Tambahnya lagi, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) turut menyediakan bantuan serta insentif bagi menggalakkan penyertaan belia dalam sektor pertanian.

Antaranya Program Pembangunan Usahawan Perak SADC, Program Agropreneur Pitching dan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD