fb fb fb fb fb

JPKKP Parlimen Padang Besar diseru manfaatkan perkembangan teknologi bantu komuniti setempat

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais

BESERI, 24 April- Kesemua 122 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bagi Parlimen Padang Besar diingatkan supaya sentiasa memainkan peranan aktif dalam membantu komuniti setempat .
 
Dalam perkembangan teknologi hari ini, penggunaan media sosial dilihat medium utama yang digunakan pelbagai lapisan masyarakat untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan isu semasa.
 
Menurut Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais, sebagai pemimpin yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan, Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) adalah satu keperluan bagi memudahkan urusan kerajaan dalam mentadbir urus sesebuah kampung dan menggerakkan segala aktiviti kemasyarakatan selain menjadi medium penyaluran maklumat kepada rakyat.
 
Beliau berkata, setiap wakil yang dilantik diharap mampu memainkan peranan yang efektif sebagai perancang dan pelaksana program-program di kampung selain perlu mempunyai upaya untuk menggerakkan penglibatan komuniti setempat dan menjadi penghubung di peringkat akar umbi yang akan menyampaikan masalah dan aduan kepada pihak berkaitan.
 
Selain itu jelasnya, JPKKP perlu sentiasa peka akan setiap perkara yang berlaku dalam komuniti dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin serta lebih bergerak ke hadapan berbanding MPKK yang dilantik kerajaan negeri ketika ini.
 
JPKKP turut diingatkan supaya harmoni dalam melaksanakan tugas berikutan di setiap kawasan turut mempunyai MPKK dan perlu mengelakkan dari bertembung dalam menyelesaikan sesuatu perkara dan sebaiknya mencari jalan tengah dalam menyelesaikan isu rakyat.
 
Beliau memaklumkannya pada Program Ikatan Kasih Aidilfitri Bersama Kepimpinan JPKKP Padang Besar di Pusat Kegiatan Masyarakat (KEMAS) Alor Tampang, Beseri yang dihadiri kira-kira 500 Pengerusi dan Jawatankuasa JPKKP.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE