PUTRAJAYA, 14 Oktober - Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara bermula tengah malam ini, terhadap kenderaan lebih muatan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata operasi "Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan" itu akan digerakkan sehingga 31 Disember ini, meliputi lima zon utama iaitu utara, tengah, selatan, timur dan Borneo.
Tumpuan operasi akan diberikan kepada kawasan panas yang sering mencatat kes kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan, khususnya melibatkan batu, pasir, tanah, silika, sawit dan kayu balak.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana syarikat pengendali atau pemandu yang sengaja melanggar had muatan ditetapkan.
"Mereka bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam, malah menyebabkan kerosakan jalan raya dan meningkatkan risiko kemalangan", katanya dalam sidang media Majlis Perhimpunan Setia Khas Menteri Pengangkutan dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ di Putrajaya.
Dalam pada itu, JPJ turut memperkenalkan penggunaan Alat Perakam Badan (BWC) bermula November ini secara berfasa.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif penguatkuasan berasaskan bukti bagi meningkatkan ketelusan dan integriti pegawai penguat kuasa.
“Langkah ini juga menegaskan pendirian JPJ untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan secara tegas, profesional dan berintegriti tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tadbir urus dan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan negara,” katanya.