fb fb fb fb fb

JPJ diserang pemandu lori balak guna kapak

KUALA NERANG, 3 Mac- Sepasukan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berdepan detik cemas apabila diserang seorang pemandu lori balak dengan menggunakan sebilah kapak panjang.

Kejadian berlaku di Simpang Tiga Kurung Hitam, Kuala Nerang, dekat Padang Terap, di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar berkata, dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, pegawai JPJ berkenaan sedang melakukan rondaan harian sebelum terserempak dengan lori yang sarat dengan muatan balak di tepi jalan.

"Sebaik berhenti di tepi jalan, pemandu lori berusia 50-an kemudian turun dari lori dan menunjukkan sekeping saman yang dikenakan terhadapnya pada awal Januari lalu.

Ketika diminta menyerahkan lesen memandu dan kad pengenalan, suspek bagaimanapun enggan berbuat demikian dan berlaku sedikit pertengkaran sebelum suspek kembali ke dalam lori dan mengambil telefon bimbit untuk menangkap gambar pegawai JPJ tersebut," katanya.


(Suspek memberhentikan lori yang sarat dengan muatan balak di tepi jalan sebelum berlaku pertengkaran dengan pegawai JPJ bertugas) 

Tambah beliau, suspek kemudian mengambil sebilah kapak panjang dan terus menghayunnya ke arah pegawai JPJ .

"Bagaimanapun, mereka sempat mengelak sebelum salah seorang daripadanya memegang suspek dan merampas kapak tersebut.

Pegawai JPJ dan suspek kemudian tampil ke Balai Polis Kuala Nerang untuk membuat laporan sebelum suspek ditahan kira-kira pukul 1 petang di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186/324 kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Media Baharu