(Foto hiasan)
JOHOR BAHRU, 19 September- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mengedarkan sebanyak 80 tan metrik beras putih tempatan (BPT) ke Johor bagi mengatasi isu kekurangan bekalan di negeri itu.
Bekalan BPT diagihkan menerusi Agensi Kawal Selia Padi dan Beras, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) secara berperingkat bermula semalam sehingga penghujung minggu ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, penghantaran fasa pertama yang dilaksanakan kerajaan pusat sebagai langkah intervensi melibatkan 30 tan metrik BPT ke 38 rangkaian pasar raya di negeri itu.
(Exco Pertanian, Industri Asas Tani, dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip)
Manakala, edaran peringkat kedua sedang diagihkan ke empat pusat pengumpulan iaitu di Johor Bahru, Simpang Renggam, Batu Pahat serta Tangkak sebelum disalurkan kepada 35 cawangan FAMA dan pasar tani yang dijual bermula esok.
"Kerajaan negeri akan mengambil tindakan dan kami sedang bincang dengan Jabatan Pertanian dan berbincang juga dengan agensi lain termasuk di Pejabat Menteri Besar untuk melihat jika apa yang dilakukan oleh FAMA ini mendatangkan hasil yang baik, kita juga mungkin akan membantu FAMA untuk meneruskan program ini di peringkat negeri', katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Peningkatan Ekonomi Madani Peladangnita Negeri Johor 2023 di Institut Pengurusan Peladang, Johor Bahru, Johor
Sementara itu, terdapat seramai 900 pesawah di negeri Johor melibatkan 10 lokasi dengan keluasan sawah merangkumi 2,254 hektar.