KUALA TERENGGANU, 19 September- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) sekiranya berlaku lebih awal.
Persediaan merangkumi kekuatan pegawai dan anggota serta kelengkapan asset yang akan membantu penduduk di 192 lokasi yang telah dikenalpasti berisiko banjir.
Pengarah JBPM Terenggau Penolong Pesuruhjaya Hassan As’ari Omar berkata kesiapsiagaan merangkumi kemungkinan banjir berlaku di luar kebiasaan setiap kali tiba musim tengkujuh.
"Kita ada juga informasi dari Besut, Setiu dan Kuala Berang akan menjadi fokus. Selain itu Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman tetapi ia bukan kawasan yang kita jangka tetapi kita fokuskan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan JBPM Terengganu di sini.
Kebiasaanya musim tengkujuh di Terengganu berlaku pada November namun berdasarkan trend beberapa tahun kebelakangan ini, situasi banjir di negeri itu sukar dijangka.
Semua 17 balai bomba seluruh negeri itu mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi banjir luar jangka.
Seramai 690 anggota turut dibantu 287 bomba sukarela akan bertugas sepanjang monsun tersebut.
Hassan As'ari Omar turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 25 pengamal media Terengganu yang membuat liputan OPS tragedi kepala air di Kampung Air Putih Kemaman.
Seramai enam petugas Berita Ehwal Semasa (BES) Jabatan Penyiaran Terengganu turut menerima sijil penghargaan atas komitmen sepanjang tujuh hari OPS itu pada 2 Julai lalu bagi mencari 10 mangsa terlibat.
(Hassan As’ari Omar)