fb fb fb fb fb

Johor siap siaga bantu pengurusan banjir lebih cekap

JOHOR, 20 Oktober- Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini bakal menyebabkan beberapa lokasi titik panas di Johor akan dilanda banjir, termasuk di daerah Segamat.

Pernah merekodkan 6,412 penduduk terjejas di 68 pusat pemindahan banjir pada awal tahun ini, menyebabkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah lebih bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir pada kali ini.

Banjir di Johor pada penghujung tahun lalu sehingga awal tahun ini menyaksikan daerah Segamat antara yang teruk terjejas, lebih 6,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan akibat banjir disebabkan faktor luar jangka seperti benteng pecah dan taburan hujan berterusan.

Jawatankuasa pengurusan bencana telah menjalankan pelbagai usaha bagi mengelakkan peristiwa sama berulang termasuk baik pulih benteng. Agensi dan anggota terlibat juga sentiasa bersiap sedia menghadapi banjir pada bila-bila masa.

 
(Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim)

Menurut Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim, pihak Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) telah mengambil tindakan apabila ban Spang Loi pecah dan RM20,000 peruntukan untuk dibaiki dan telah siap pada April lalu.

"Alhamdullillah Perdana Menteri telah meluluskan RM5 juta, kerja awalan telah bermula dan tender projek dibuka bulan ini," katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sungai, termasuk mendalamkan dan pembersihan sungai membabitkan peruntukan kira-kira RM5 juta.

Selepas banjir besar pada Januari lalu, JPBD juga telah menambah jumlah Pusat Pemindahan Sementara daripada 147 kepada 198, melibatkan sekolah, dewan, balairaya dan kawasan lapang.

1,019 anggota bertugas bersama aset lain seperti khemah, jaket keselamatan, pacuan empat roda dan lori juga telah bersiap sedia digerakkan sekiranya banjir berlaku nanti.

Khemah juga telah dan akan diedarkan awal ke lokasi berpotensi banjir, terutama kawasan pedalaman dan berisiko terputus laluan perhubungan.


Ulas Hasrin lagi, kita tidak perlu menghantar lagi, kita dah bersiap sedia.

"Contoh kompleks-kompleks penghulu setakat ini dalam senarai saya ada 1,073 khemah untuk penduduk yang terjejas banjir. Kalau hendak tunggu penghantaran daripada stor JKM, dibandar ke Labis, ambil masa hampir 30 ke 40 minit dan hendak masuk kampong mukim buluh kasap saya takut tidk sampai kerana jalan putus dan sebagainya," katanya kepada wartawan RTM Anaz.

JPBD mengenalpasti 56 titik panas banjir di Segamat dengan 52 daripadanya adalah kawasan kampong, manakala empat lagi membabitkan taman perumahan dan jalan.

Segala usaha yang dijalankan ini ibarat sediakan payung sebelum hujan.

Laporan Annaz Md.Nor

Media Baharu